Tadika Terbaik Untuk Si Comel?
Airil Haimi Adnan untuk majalah Pa&Ma, kumpulan Karangkraf
ruangan bulanan ‘Pendidikan Pra-Formal', edisi Februari 2006
Tiada hadiah yang lebih berharga dapat diberikan kepada seseorang selain dari pendidikan. Kata salah seorang pemimpin Islam terbilang Ali bin Abi Thalib pula, ilmu pengetahuan yang ditimba dari proses pendidikan dapat menjaga diri seseorang dan tidakkan pernah habis malah semakin bertambah apabila ia digunakan!
Ibubapa yang bertanggungjawab dan memiliki kesedaran tidak akan mengabaikan pendidikan anak mereka, terutama jika anak tersebut masih di usia muda. Anak kecil di tahun dasar iaitu dari saat kelahiran hingga umur enam tahun, perlu diberi pendidikan yang sempurna agar dia dapat berkembang dengan baik.
Apa yang dimaksudkan dengan pendidikan sempurna, atau yang ‘terbaik’? Selak helaian lepas majalah kegemaran anda ini, yang pernah membincangkan sama ada pendidikan pra-formal terbaik diukur dari harganya. Jika anda bertanya kepada saya, pendidikan pra-formal terbaik harus diukur dari proses pengajaran dan pembelajaran di sesebuah tadika.
Kalau dilihat sekali imbas, mendidik anak kecil memang mudah. Jika dia menangis, berikan makanan atau suruh saja dia tidur. Kalau dia masih lagi belum dilatih untuk membersihkan diri, bantu semasa dia membuang air kecil atau besar. Kalau anak kecil itu berkelahi dengan teman setadika, kita hanya perlu mengherdik dan mereka akan diam. Berikan anak kecil berkenaan sebatang krayon dan dia akan belajar melukis dan tidak mengganggu orang lain.
Sayangnya, pendidikan pra-formal bukan semudah yang terlihat dengan mata kasar. Kerana itu di sesetengah negara Barat, ianya tahap pendidikan yang diwajibkan kepada semua. Di negara Asia, kesedaran tentang kepentingan pendidikan pra-formal baru timbul, dan ramai antara kita masih lagi mempunyai tanggapan yang salah tentang pendidikan ini.
Sebagai contoh, jika sesebuah tadika mengenakan yuran atau biaya bulanan yang mahal, itu tidak bererti pendidikan yang diberikan mampu menjadikan anak kecil anda seorang genius. Penekanan kepada kurikulum pra-formal (pra-sekolah) menyeluruh dan guru tadika yang berpengalaman serta memiliki ilmu akademik tentang pendidikan pra-formal, harus menjadi kayu pengukur kepada setiap ibubapa yang mahu menghantar anak mereka ke tadika.
Baru-baru ini saya dipanggil mengaudit sebuah tadika besar yang mengenakan bayaran mahal kepada ibubapa. Salah satu sebab kenapa yuran bulanan yang dikenakan agak besar ialah tadika tersebut menyediakan kelas Teknologi Maklumat (IT) kepada anak kecil di antara umur 5 hingga 6 tahun. Tadika itu juga berbangga kerana semua gurunya memiliki ijazah.
Namun setelah dinilai kami mendapati ‘pendidikan’ IT tersebut tidak lebih dari masa dua jam seminggu yang diperuntukkan agar kanak-kanak di tadika berkenaan dapat duduk dalam kelompok kecil dan menghabiskan permainan komputer. Yang lebih merungsingkan saya, permainan komputer yang diberi tidak mempunyai detik/saat pembelajaran (learning moments) yang mencukupi dan lebih sesuai untuk kanak-kanak yang lebih tua.
Guru di tadika berkenaan juga memiliki ijazah, tetapi tidak seorang pun yang mendalami bidang pendidikan, apatah lagi pendidikan pra-formal. Jadi mereka yang rata-rata agak muda, kelihatan kekok memberi sokongan dan membantu perkembangan anak didik mereka yang masih kecil dan memerlukan pendidikan sosio-psikologi di tahap pra-sekolah.
Jadi, ibubapa perlu lebih kritikal dan memastikan bahawa tadika yang mereka pilih untuk anak kecil mereka, benar-benar memberi fokus kepada pendidikan holisitik atau menyeluruh. Antara perkara utama yang perlu diajar di peringkat pra-formal adalah mengenal huruf dan nombor, asas pemikiran saintifik, pendidikan seni dan kraf, kemahiran sosial asas, aktiviti bermain dan kemahiran motor, serta nilai moral dan kerohanian.
Perkara lain seperti kemahiran teknologi maklumat atau pengetahuan am pula, perlu dilihat sekadar aktiviti nilai tambahan (value-added), kerana ia tidak kritikal untuk perkembangan di tahap umur enam tahun dan ke bawah. Tadika yang terbaik juga sebenarnya dapat menyediakan anak anda untuk bergerak dari tahap pra-formal ke pendidikan formal sewaktu dia memulakan sekolah rendah.
Bagaimanapun, sebagai ibubapa dan penjaga anda tidak harus meminta keajaiban dari anak kecil anda. Bersyukurlah jika dia dapat mengenal huruf dengan baik, dan jangan pula dimarahi guru tadikanya jika pembacaan anak anda masih belum lancar. Membaca dengan lancar, bukan fokus utama sewaktu pendidikan pra-formal.
Setiap ibu dan bapa mahu melihat anak kecil mereka mendapat pendidikan yang elok dan menjadi insan yang berguna di masa depan. Pendidikan pra-formal terbaik, adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang mementingkan keseimbangan, disamping adanya guru tadika yang dapat menyokong perkembangan si kecil dengan rasa kasih dan sayang hasil latihan akademik dan pengetahuan tentang pendidikan pra-sekolah!
TERKINI: Bersama kami di FACEBOOK 'PAGE' DUNIA SI KECIL KONTEMPORARI untuk berkongsi ilmu keibubapaan bersama ahli Facebook dari BRUNEI, INDONESIA, MALAYSIA dan SINGAPURA!
* Airil Haimi Adnan adalah penyelidik Psikologi Perkembangan Tahun Awal & Sosiologi Pendidikan Praformal di UfoRIA, Unit Penyelidikan & Pembangunan Intelek, UiTM Perak.
** Jika anda merujuk artikel ini untuk tujuan akademik, sila pastikan rujukan penuh dinyatakan iaitu sebagai artikel di dalam majalah Pa&Ma, jika ada soalan tambahan - let us network!
Comments