Jangan sesekali kita terlupa kisah Hang Nadim dan bagaimana dia dibunuh kerana dia seorang anak pintar cerdas oleh sebilangan orang Melayu, kaumnya sendiri yang kuat berdengki laknat sesama sendiri. Agak aneh juga bila difikirkan, lagenda Hang Tuah yang gagah perkasa namun tidak dapat berfikir untuk dirinya sendiri hingga dia sanggup menerima arahan untuk membunuh saudaranya Hang Jebat (yang pada dasarnya menuntut keadilan bagi dirinya) - sering dijadikan hikayat kebanggaan, namun Hang Nadim seakan-akan sudah hilang dari memori rumpun Melayu di rantau sebelah sini.
Beberapa persoalan terbuka tentang hikayat Hang Nadim yang perlu kita fikir-fikirkan:
Tentang Melayu dan Kemelayuan...
Adakah lumrah orang Melayu untuk berdengki khianat terutama sekali kepada saudara seagamanya WALAUPUN yang dikhianat itu hanya seorang anak kecil yang baru melepasi usia praformal?
Tentang usia serta kematangan...
Mungkinkah umur lanjut menjadikan kita semakin keras, kepala, sombong dan lupa daratan hingga kita tidak mampu menerima idea dan teguran dari mereka yang lebih muda WALAUPUN mungkin mereka di pihak yang benar?
Tentang baka kepintar-cerdasan...
Dapatkah kita bayangkan jika Hang Nadim diperlakukan begitu sadis, bagaimana pula dengan kanak-kanak pintar cerdas Malaysia hari ini seperti Adi Putra serta Chan Yaoban yang dipinggirkan jauh dari aliran pendidikan Malaysia hingga mereka terpaksa meminta belas kasihan orang hanya untuk mencari ilmu pengetahuan?